Laluan Berliku, Peluang Ke Final Piala FA Masih Terbuka


MESKIPUN berdepan laluan berliku, namun kapten pasukan Terengganu bertekad untuk membawa skuad Penyu mara ke pentas final Piala FA ketika turun melayan kunjungan Kedah dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Abdul Latif Suhaimi melahirkan keyakinan mereka mampu mengulangi kejayaan enam tahun lalu sekiranya kesemua pemain mempamerkan semangat juang yang tinggi sebagaimana dibuktikan mereka sepanjang mengharungi saingan Piala FA dan kempen Liga Malaysia musim ini.

Menurutnya, walaupun mereka gagal membawa bekalan selesa pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman minggu lalu, namun ia bukan bererti peluang buat mereka sudah tertutup, sebaliknya mengharapkan rakan-rakan sepasukannya dapat memanfaatkan peluang keemasan itu untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka untuk mara ke pentas final.


“Sememangnya saya sudah tidak sabar untuk turun membantu skuad Penyu pada perlawanan itu nanti, memandangkan pada aksi terdahulu saya tidak dapat bersama-sama pasukan ekoran di gantung satu perlawanan.


“Bagaimanapun kini saya sudah bersedia baik dari aspek fizikal mahupun mental untuk memastikan pasukan Terengganu bukan sahaja mampu memberikan saingan sengit bahkan memperoleh kejayaan yang cemerlang,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.

Mengulas lanjut peluang buat pasukan Terengganu, jentera tengah berusia 27 tahun itu mengakui peluang untuk mara ke final masih terbuka dan mereka perlu memburu gol awal bagi mengimbangi kelebihan defesit gol yang dimiliki pasukan Kedah ketika ini.

Selain itu katanya, beraksi digelanggang sendiri juga bakal menjadi kelebihan berguna buat pasukannya dalam memburu kemenangan pada perlawanan yang dianggap hidup mati buat kem Terengganu itu.

“Apa yang saya harapkan pemain yang bakal mengalas tanggung jawab di dalam padang nanti tidak mengambil mudah pasukan lawan sebaliknya terus fokus dalam meledakan gol kerana pasukan perlu memiliki kelebihan jaringan untuk mara ke final.

“Jadi saya mahu rakan-rakan sepasukan dapat mengulangi semangat juang yang tinggi sebagaimana mana mereka bangkit daripada ketinggalan ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) II dalam aksi liga tempoh hari,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Latif turut mengharapkan pemain ke-12 pasukan Terengganu dapat membanjiri stadium bagi memberi sokongan kepada skuad Penyu kerana baginya suntikan semangat daripada penyokong juga mampu memberikan kekuatan kepada pasukan dalam memburu kejayaan. - Sinar Harian