Terengganu Tagih Sokongan Pemain Ke-12


Kesempatan beraksi di gelanggang sendiri mahu dimanfaatkan sepenuhnya Terengganu yang akan melayan kunjungan Kedah dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, peluang pasukannya untuk mara ke final akan bertambah cerah dengan sokongan padu penyokong Sang Penyu dengan misi memadam defisit satu gol dimiliki pasukan lawan.

“Pasukan ini sudah bersiap sedia dan saya meminta pemain-pemain membuktikan kemampuan mereka untuk menang secara mutlak di hadapan ribuan penyokong kami.

“Malah saya mahu pemain-pemain memberi komiten terbaik kerana apa-apa sahaja boleh berlaku di separuh akhir jadi sokongan peminat amat diperlukan,” ujarnya.

Tambah Irfan lagi, kekalahan dua perlawanan berturut-turut sebelum ini juga sudah dilupakan dengan fokus kini terarah untuk melangkah ke final pertama mereka sejak bergelar juara pada 2011.

“Meskipun Kedah baru sahaja beraksi Selasa lalu, kami masih menjangkakan mereka akan turun dengan pasukan terbaik dan semangat juang tinggi.

“Saya menaruh keyakinan dengan pemain-pemain saya dan kami akan memberi tentangan yang sengit,” kata ketua jurulatih berpengalaman itu lagi.

Untuk rekod, Irfan Bakti merupakan pengendali yang membawa kejuaraan Piala FA ke bumi Terengganu, enam tahun lalu. - Arena