Irfan Bakti Puji Karakter Pemain Terengganu

Posted on Sunday, July 02, 2017 | 7/02/2017



Kuala Terengganu : PENGENDALI skuad Penyu Irfan Bakti Abu Salim tetap memuji semangat juang dipamerkan anak buahnya walaupun sekadar berkongsi satu mata ketika melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) II dalam aksi Liga Perdana.

Menurutnya, skuad bimbi-ngannya mempamerkan aksi cemerlang pada babak kedua perlawanan untuk bangkit menjaringkan dua gol penyamaan sekali gus mengikat kedudukan 2-2  dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

“Saya berpuas hati permainan ditunjukkan pemain saya pada separuh masa kedua.

"Mereka memperbaikinya (rentak perlawanan) selepas ketinggalan dua gol," katanya.

Tuan rumah ketinggalan dua gol menerusi jaringan Alaxender Moreton Smith minit keempat dan Muhd Syazwan Andik Ishak minit ke-10

Namun, Terengganu bangkit menerusi jaringan Faiz Mohd Nasir minit ke-46 dan K Partiban empat minit kemudian.

Mengulas lanjut, Irfan menganggap kurangnya komunikasi dalam kalangan pemain  di awal permainan menyebabkan mereka mudah melepaskan dua gol.

"Saya sedikit kecewa dengan dua gol awal pasukan pelawat dalam tempoh 10 minit yang berpunca daripada  kurangnya komunikasi antara pemain benteng pertahanan.

"Apa yang saya lihat mereka (benteng pertahanan) tiada komunikasi antara satu sama lain sehingga membenarkan kem lawan meraih gol mudah dan ketiadaan Lazaro Vinicius jelas dirasai pasukan kerana dia selalu memberi arahan ketika mengetuai bahagian serangan,” katanya. - Sinar Harian
Blog, Updated at: 7/02/2017
Loading...