PBSNT Keluarkan 9,000 Keping Tiket Aksi Bertemu Johor DT


KUALA TERENGGANU: PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengeluarkan sebanyak 9,000 keping tiket bagi aksi kedua kumpulan D, kempen Piala Malaysia  antara Terengganu dan Johor Darul Ta’zim (JDT)  yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pegawai Media PBSNT,  Haslan Hashim berkata, tiket-tiket itu akan mula dijual di kaunter utama stadium seawal jam 10 pagi hari perlawanan.

Menurutnya, kadar tiket bagi perlawanan tersebut masih kekal sebagaimana sebelum ini dengan harga RM20 bagi tempat berbumbung, RM10 tempat terbuka dan RM5 bagi kanak-kanak.

“Setiap penyokong hanya dihadkan membeli lima keping tiket sahaja bagi memberi peluang kepada semua peminat skuad Penyu untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada pasukan Terengganu  pada perlawanan itu nanti.

“Jadi kami berharap penyokong dapat mengikuti peraturan yang telah ditetapkan agar semua pihak dapat turut serta dalam memeriahkan akhir kedua saingan peringkat kumpulan D, Piala Malaysia  Terengganu dan JDT malam esok,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini. - SH