T-Team Diarah Segera Baiki Dan Tingkatkan Prestasi


Kuala Terengganu: Pasukan berstatus kelab, T-Team diminta memperbaiki segera prestasi mereka selepas mempamerkan aksi kurang konsisten sejak aksi pusingan kedua saingan Liga Super bersambung dan kegagalan meraih sebarang kemenangan pada kempen Piala Malaysia musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, pihak engan perkara itu terus membelenggu pasukan sehingga menjadi skuad belasahan dan akan memanggil pengurusan serta kejurulatihan pasukan dalam masa terdekat bagi mengetahui punca sebenarnya.



Menurutnya, walaupun hanya memantau perkembangan skuad kendalian Rahmad Darmawan itu daripada luar namun sejak kebelakangan ini prestasi T-Team dilihat amat mengecewakan berbanding musim lalu.

“Sememang kita amat kecewa dengan keadaan ini dan kita tidak mahu T-Team terus menjadi pasukan belasahan walaupun hanya masih berbaki dengan empat perlawanan dalam saingan Liga Super.

“Kita sebenarnya telah menyerahkan seratus peratus kepercayaan kepada pihak kejurulatihan dan pengurus, selain memenuhi kesemua kehendak pasukan. Jadi kita perlu tahu apa masalah sebenar yang berlaku dalam pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kemerosotan pasukan T-Team setelah mengalami kekalahan 4-1 ke atas Pasukan Perbadanan Negeri Perak (PKNP) dalam aksi kumpulan A, Kempen Piala Malaysia, kelmarin sekali gus gagal mengulangi prestasi musim lalu mara ke peringkat separuh akhir.

Justeru, Rozi mengharapkan pihak pengurusan T-Team dapat mengambil satu langkah drastik bagi memperbaiki mutu permainan sekali gus bangkit melakarkan kemenangan dalam baki saingan Liga Super nanti. - Sinar Harian