T-Team FC Gagal Manfaatkan Peluang Pada Aksi Pembukaan Piala Malaysia

Posted on Wednesday, July 05, 2017 | 7/05/2017


Kuala Terengganu : PASUKAN berstatus kelab T-Team gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelangang sendiri apabila tewas tipis 1-2 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam aksi kumplan A, kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Pada perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan bermula seimbang apabila masing-masing berbalas serangan, bagaimanapun kem pelawat terlebih dahulu mencemaskan gawang tuan rumah menerusi percubaan jarak jauh, Muhamad Fadhil Idris pada minit ke lapan.

Begitupun T-Team bangkit mengatur gerakan ke gawang tuan rumah, namun dua percubaan kemas Joseph Yannick (minit 9) dan Mohd Nor Hakim Hassan (minit 10) gagal menemui pintu gol.

Empat minit selepas itu, kem tuan rumah hampir berada di depan menerusi Mahamadou Samasa hasil gerakan satu dua bersama penyerang baharu skuad The Titans, Joseph Yannick, namun sepakan pemain tengah kelahiran Mali itu sekadar melambung tinggi.

Usaha pelawat dalam mencari jaringan akhirnya tertunai menerusi gerakan solo kapten pasukan, Muhammad Shahrel Fikri pada minit ke-22 sekaligus membawa PKNP berada di depan.

Lima minit berselang, skuad kendalian Abu Bakar Fadzim hampir mengukuhkan kedudukan menerusi rembatan Gilberto Valdennesio Fortunato hasil sepakan penjuru, Mohamad Hafiz Ramdan tetapi berjaya dinafikan penjaga gawang T-Team, Mohd Hafidz Romly.

T-Team yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan sekali lagi gagal dimanfaatkan Dilshod Sharofetdinov apabila tandukannya sekadar tersasar daripada gawang gol hasil hantaran silang Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ke-36 sehingga membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua memperlihatkan kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak permainan dan kem tuan rumah hampir mengikat kedudukan menerusi tandukan Joseph Yannick pada minit ke-46, namun berjaya didakap kemas, Ahmad Asyraaf Omar.

Akhirnya, Mahamadou Samassa kembali mencerikan penyokong The Titans menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-50.

Jaringan penyamaan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila kapten pasukan PKNP, Muhammad Shahrel Fikri kembali meletakkan pelawat di depan seminit selepas itu setelah bijak memanfaatkan kegagalan benteng pertahanan T-Team, Mohamad Syuhiran Zainal daripada mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Permainan menjadi semakin sengit apabila kedua-dua pasukan terus mengasak gawang gol masing-masing namun gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang selain ketangkasan penjaga gol dalam mengawal gawang daripada dibolosi.

Peluang tuan rumah untuk merapatkan kedudukan hadir pada minit ke-79 menerusi sepakan percuma pemain gantian Syed Sobri Syed Mohd namun sepakannya sekadar menggegarkan palang gol.

T-Team yang berusaha mencari jaringan penyamaan akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan itu setelah PKNP berjaya mempertahankan kedudukan 1-2 sehingga tamat perlawanan. - Sinar Harian
Blog, Updated at: 7/05/2017