T-Team FC Waspada Ancaman PKNP FC

Posted on Tuesday, July 04, 2017 | 7/04/2017



KUALA TERENGGANU: Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan menyifatkan PKNP FC bukan lawan mudah apabila turun melayan kunjungan lawan itu dalam aksi pertama Kumpulan A kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Menurutnya, anak buahnya harus berwaspada dengan skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim dan perlu segera melupakan episod kekalahan 2-4 dalam aksi Liga Super di tangan Selangor, Sabtu lalu, dengan memberi fokus sepenuhnya kepada perlawanan itu.

"PKNP bukan calang-calang pasukan kerana prestasi mereka kini di tahap terbaik dengan menghuni tangga ketiga Liga Perdana.

"Malah, mereka mempunyai awang import berkualiti terutama dari Korea Selatan, Kim Hyun-Woo yang perlu diawasi dalam perlawanan malam ini," katanya.

Pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, dia juga akan melihat semula barisan pemain yang bakal diturunkan untuk perlawanan pembuka tirai piala berprestij itu.

Dia tidak menolak kemungkinan melakukan pertukaran pemain bagi memastikan mereka yang benar-benar cergas diturunkan untuk memikul cabaran The Titans - Berita Harian
Blog, Updated at: 7/04/2017