Anggap Malam Ini Adalah Perlawanan Pentas Akhir! - Irfan Bakti


Kuala Terengganu: “Beraksi seperti pentas final.” Itu permintaan jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim kepada anak buahnya menjelang pertemuan dengan Kuantan FA dalam aksi Liga Perdana di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Selain itu, pengendali berusia 66 tahun berkenaan turut mahu pemainnya memperaga disiplin tinggi serta corak permainan bermutu ketika menyerang dan bertahan bagi memastikan tiga mata dapat diraih.

“Perlawanan menentang Kuantan FA penting buat kami. Kami tidak boleh tewas untuk mengelak daripada tercicir mata kerana persaingan empat pasukan teratas untuk memburu dua slot ke Liga Super musim depan semakin sengit dan mendebarkan.


“Oleh sebab itu, saya maklumkan kepada pemain, aksi dengan Kuantan FA adalah misi wajib menang bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta serta merampas kembali kedudukan selaku pendahulu,” kata Irfan.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad Peteh Terengganu Peteh menghuni tangga kedua liga dan berkongsi 38 mata dengan pendahulu, Kuala Lumpur.

Jika Terengganu berjaya menewaskan Kuantan FA, peluang mereka untuk merampas kembali kedudukan teratas adalah cerah.

Dalam pada itu, Irfan berkata, kekalahan besar 0-5 kepada Johor Darul Ta[zim (Johor DT) Selasa lalu tidak akan menjejaskan rentak permainan anak buahnya untuk berdepan Kuantan FA.

“Saya yakin moral dan prestasi pemain tidak terjejas. Saya juga sudah menyusun strategi berbeza dan enam pemain yang tidak diturunkan ketika bertemu Johor DT akan disenaraikan termasuk penyerang import Tchetche Kipre.

“Kami juga akan menurunkan barisan terkuat,” kata Irfan. - Harian Metro