Sultan Mizan Tarik Diri Sukan SEA

Posted on Sunday, August 13, 2017 | 8/13/2017



Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menarik diri daripada menyertai acara endurance dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ekoran masalah kuda, namun ia tidak menjejaskan misi skuad negara untuk muncul juara keseluruhan.

Penyertaan Sultan Mizan pada awalnya adalah antara daya tarikan acara ekuestrian di Terengganu.

Namun, seminggu menjelang pembukaan rasmi temasya, Sultan Mizan mengambil keputusan menarik diri ekoran masalah kuda dan MOM telah mengumumkan perkara itu dalam sidang media di ibu kota, semalam.

"Perkara sebegini sering berlaku di dalam sukan, tidak kira di peringkat mana sekalipun. Bagaimanapun, Malaysia masih mampu memberikan yang terbaik dalam Sukan SEA kali ini," kata Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Secara keseluruhan, ekuestrian menawarkan tujuh pingat emas dan Malaysia dijangka mampu meraih dua emas, terutama dalam acara dressage dan show jumping.

Sementara itu, MOM turut mengumumkan Malaysia kekal menghantar atlet paling ramai selepas tamat mesyuarat pendaftaran delegasi semalam.

"Malaysia masih lagi kekal sebagai kontinjen terbesar dalam edisi kali ini, seramai 844 atlet Malaysia akan bertanding,  diikuti Thailand yang membawa 814 atlet," kata Setiausaha Kehormat, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo. - Arena
Blog, Updated at: 8/13/2017
Loading...