(VIDEO) Malaysia U-22 Langkah Kanan Di Sukan SEA KL 2017

Posted on Tuesday, August 15, 2017 | 8/15/2017



JURULATIH skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan persembahan anak didiknya walaupun menang tipis 2-1 ke atas Brunei pada perlawanan pertama Kumpulan A pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di sini, malam tadi.

Beliau berkata mengutip tiga mata pada perlawanan pertama adalah lebih penting daripada menjaringkan lebih banyak gol kerana kemenangan itu dapat meningkatkan keyakinan pemain untuk menghadapi perlawanan menentang Singapura, Rabu ini.

Klik untuk play video dibawah ini


”Banyak peluang disia-siakan selepas pemain Brunei berkampung di kawasan pertahanan dan ini menyukarkan pemain menghasilkan gol...bagaimanapun, saya gembira dapat pulang dengan tiga mata penuh,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu di Stadium Shah Alam.

Pada perlawanan itu, Malaysia tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila rembatan Muhd Safawi Rasid menerjah gawang Brunei seawal minit keempat sebelum penyerang pasukan lawan, Mohamed Zulkhairy Hady Razali memberi kejutan dengan gol penyamaan di minit ke minit.

Adam Nor Azlin menyelamatkan maruah negara dengan jaringan menerusi tandukan pada minit ke-60.

Kim Swee turut memuji persembahan beberapa muka baharu khususnya Muhd Safawi yang cepat dapat membentuk keserasian dengan pemain lain walaupun hanya menjalani latihan beberapa minggu menjelang temasya sukan dwitahunan itu.

Bagaimanapun, beliau berharap barisan penyerang dapat memperbaiki persembahan menjelang pertemuan dengan Singapura yang sebelum itu kalah 2-0 dengan Myanmar di Stadium Selayang.

Sementara itu, jurulatih Brunei, Kwon Oh Son mengakui anak buahnya gementar bermain dalam perlawanan pertama di hadapan lebih 3,000 penyokong tuan rumah.

“Mereka menampilkan persembahan baik dan bangga mereka dapat menyekat Malaysia daripada menjaringkan lebih banyak gol. Saya berharap mereka akan memberi tentangan sengit apabila bertemu Myanmar Rabu ini,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu. - Bernama
Blog, Updated at: 8/15/2017