(VIDEO) T-Team FC Bangkit Menghidupkan Peluang Lakar Kemenangan

PASUKAN berstatus kelab T-Team berjaya mencipta kebangkitan apabila meraih kemenangan 4-1 ke atas Negeri Sembilan dalam saingan Kumpulan A, kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekaligus menyaksikan skuad kendalian Rahmad Darmawan kembali menghidupkan kembali peluang untuk merebut satu lagi slot ke saingan suku akhir.

Pertemuan itu menyaksikan kem tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat menerusi dua percubaan kemas, Mohd Asrol Ibrahim (minit 3) dan Ahmad Takhiyuddin Roslan (minit 4), namun gagal menemui jaring gol.
Klik untuk play video dibawah ini


Percubaan awal itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat kem pelawat apabila bangkit mengatur gerakan dan turut berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-11 menerusi Mohamad Izzudin Zainuddin tetapi mudah dibaca Mohd Hafidz Romly.

Peluang keemasan buat kem tuan rumah untuk membuka jaring hadir empat minit selepas itu  menerusi hantaran cantik, Mohd Fakhrurazi Musa namun gagal dimanfaatkan Mohd Nor Hakim Hassan.

Perlawanan menjadi semakin sengit apabila masing-masing berbalas serangan dan usaha tuan rumah dalam mencari gol akhirnya tertunai menerusi Mohd Asrol Ibrahim pada minit ke-24 untuk membawa T-Team di depan

Begitupun kem pelawat hampir mengikat kedudukan pada minit 34 menerusi sepakan penalti tetapi Mohd Hafidz terlebih dahulu bertindak cemerlang menepis keluar rembatan tepat, Mohamad Izuddin Zainuddin.

Sebaliknya, kem tuan rumah berjaya mengukuhkan kedudukan enam minit selepas itu menerusi jaringan kemas Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris untuk gol kedua T-Team sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, kem tuan rumah tidak menunggu lama untuk melebarkan jaringan apabila Dilshod Sharofetdinov menjaringkan gol ketiga skuad The Titans menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-49.

Pelawat yang cuba bangkit untuk mencari jaringan bagaimanapun gagal melepasi benteng pertahanan T-Team hasil kawalan ketat kapten pasukan, Mohamad Hasbullah Awang dan gandingannya, Abdoulaye Youssouf Maiga.

Kem Negeri Sembilan akhirnya berjaya merapatkan jurang kedudukan apabila Muhammad Nizam Mohd Ruslan berjaya menjaringkan gol pelawat pada minit ke-78.

Jaringan itu, bagaimanapun tidak kekal lama apabila Mohd Fakhrurazi Musa terus menambah jaringan tuan rumah dua minit selepas itu menjadikan kedudukan 4-1.

Pelawat yang berusaha usaha untuk menambah jaringan akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan itu selepas kem tuan rumah terus menggenggam tiga mata penuh dihadapan penyokong sendiri sehingga tamat perlawanan. - Sinar Harian