T-Team Diambang Terjerumus Ke Liga Perdana


PASUKAN berstatus kelab T-Team menempah laluan getir apabila berada di zon penyikiran setelah tewas kepada Pahang, 1-0 dalam aksi kedua terakhir saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Pada perlawanan itu menyaksikan kem pelawat bermula garang apabila terlebih dahulu mencemaskan gawang tuan rumah menerusi dua percubaan tepat kapten pasukan, Matthew Davies (minit 3) dan Christie Jayaselan (minit 6), namun berjaya ditepis keluar, Mohd Suhaimi Husin.

T-Team yang bangkit mengatur gerakan hampir menamatkan kebuntuan gol menerusi rembatan kencang Mohamad Kamal Azizi tetapi mudah dinafikan penjaga gawang Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias pada minit ke-21.

Kedua-dua pasukan terus bergelut dalam mencari jaringan apabila setiap asakan dilakukan gagal melepasi kubu pertahanan masing-masing.

Berbaki empat minit sebelum tamat babak pertama, penyerang import The Titans, Joseph Yannick Ndjeng hampir membawa tuan rumah di depan, bagaimanapun percubaan luar kotak penaltinya gagal menemui jaring gol.

Tiga minit selepas itu, kem tuan sekali lagi gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk membuka jaringan menerusi hantaran kemas Muhamad Fauzi Abdul Kadar, namun rembatan Syed Sobri Syed Mohd ditepis keluar Mohd Helmi Eliza Elias.

Bersambung babak kedua memperlihatkan kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak permainan dan T-Team berpeluang untuk menamatkan kebuntuan gol pada minit ke-56, namun pemain gantian, Mohd Norhakim Hassan gagal memanfaatkan peluang terhidang meskipun berdepan satu lawan satu dengan Mohd Helmi Eliza.

Dua minit berselang, Muhamad Fauzi Abdul Kadar pula menguji penjaga gawang Pahang, tetapi Mohd Helmi Eliza sekali lagi bertindak cemerlang menutup pintu gol buat kem tuan rumah.

Sebaliknya, kem pelawat yang sesekali melakukan serangan berjaya menemui jaringan pada minit ke-78 menerusi rembatan Matheus Alves Leandro untuk membawa skuad Tok Gajah di depan.

T-Team yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan itu apabila skuad Tok Gajah terus menggenggam tiga mata berharga di gelanggang lawan sehingga tamat perlawanan. - Sinar Harian