Terengganu FC Perlu Kerja Keras Jika Mahu Jadi Pencabar Liga Super


KUALA TERENGGANU: "Masih banyak yang perlu diperbaiki dalam misi untuk menjadi pencabar utama dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan," ini rumusan daripada penolong jurulatih Terengganu FC I (TFC I) Mohamad Nik.

Mohamad berkata demikian sebagai mengulas tahap permainan anak buahnya ketika aksi persahabatan pertama bertemu skuad `adik` Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini petang semalam.

Dalam aksi pra-musim itu, skuad yang terkenal dengan julukan Sang Penyu meraih kemenangan 2-0 hasil jaringan penalti pemain import kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre dan satu lagi menerusi bekas pemain T-Team, Fauzi Abdul Kadar.

Mengulas lanjut, bekas penolong jurulatih FELDA United itu berkata, semua posisi perlu diperbaiki bagi memastikan pasukan TFC I benar-benar mantap walaupun tempoh sebelum Liga M bermula masih panjang.

"Kita perlu perbaiki terutama daripada segi menyerang dan bertahan, saya lihat pada babak pertama kita menyerang bagus tapi bertahan lambat sehingga pihak lawan mudah memasuki kawasan penalti untuk mencari jaringan," kata Mohamad.

"Sikap pemain juga harus diambil kira iaitu perlu sentiasa berfikiran positif dan mempunyai keyakinan diri, justeru dengan masa yang masih ada ini kita akan berusaha untuk meningkat prestasi pemain dan pasukan melalui latihan dan aksi persahabatan."

Pada 5 Januari ini, skuad yang diberi nafas baharu itu bakal menguji kemampuan mereka di Kemboja selama lima hari untuk tiga aksi persahabatan sebelum menjadi tuan rumah kejohanan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu yang dijadualkan pada 15 Januari. - Berita Harian