Lee Tuck Azam Hadiah Satu Piala Untuk Terengganu FC


KUALA TERENGGANU: Arkitek baharu Terengganu FC I (TFC I), Lee Tuck yakin pemain tengah terbaik dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan bermula 3 Februari depan.

Pemain kelahiran Halifax, England menggandakan usaha untuk mencapainya selepas dia muncul pemain terbaik perlawanan akhir kejohanan bola sepak empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu yang berakhir malam semalam.

Bekas pemain import Negeri Sembilan musim lalu itu yang digandingkan dengan pemain dari Kemboja, Thierry Chantha Bin bijak menguasai bahagian tengah sehingga menyukarkan barisan pemain Terengganu FC II (TFC II) mengatur gerakan dalam aksi final bagi merebut piala itu.

"Kejayaan merangkul pemain terbaik adalah permulaan yang positif buat saya dan ia mampu menyuntik semangat untuk meningkatkan lagi prestasi.

"Selain itu kejayaan menjuarai kejohanan ini juga bagus buat pasukan untuk bersaing hebat dalam kancah Liga M dan keputusan saya menyertai pasukan TFC I adalah tepat," kata Tuck.

Mengulas sasaran skuad Penyu musim ini, pemain berusia 30 tahun dengan ketinggian 1.75 meter itu berazam menghadiahkan satu piala kepada peminat setia pasukan itu.

"Selepas gagal membantu skuad Negeri Sembilan meraih trofi musim lalu, kini saya bertekad memperagakan aksi terbaik membantu pasukan meraih sekurang-kurangnya satu piala serta kedudukan terbaik dalam liga.

"Namun jika kita hanya bercakap tapi tanpa sebarang usaha gigih sudah pasti kejayaan tidak akan dicapai.

"Oleh itu untuk meningkatkan lagi prestasi, bermain sebagai satu pasukan adalah bonus selain strategi berkesan daripada jurulatih," katanya. - Berita Harian