Pemain Dari Korea Selatan, Park Seung-il Ganti Kim Hyun-Woo

Posted on Saturday, January 27, 2018 | 1/27/2018



KUALA TERENGGANU: Pendatang baharu Liga Super, Terengganu FC I (TFC I) memiliki senjata import baharu selepas mengikat pemain kelahiran Korea Selatan, Park Seung-iI dalam misi merangkul sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

Bekas pemain kelab Anyan FC dalam Liga Korea Selatan itu bukan sahaja memiliki ciri mesin pencetak gol malah pemain berusia 29 tahun itu juga berupaya menjadi arkitek pasukan.

Ketua jurulatih skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu, Irfan Bakti Abu Salim menyatakan pemain berketinggian 1.78 meter itu sudah mula berlatih bersama pasukan sejak tiga hari lalu.

"Seung-iI menjadi pemain import terakhir diikat PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) bagi menggantikan Kim Hyun Woo yang tidak dapat bersama pasukan akibat kecederaan yang dialami.

"Pemain yang mampu beraksi di posisi tengah dan serangan itu kini dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan selain faktor kecergasan kerana baru tiba dan berkemungkinan kita akan merehatkannya pada aksi pertama bertemu PKNS di Kuala Terengganu pada 3 Februari ini," kata Irfan Bakti ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pemain, jersi dan logo baharu Terengganu FC semalam.

Sebelum ini kuota pemain import Asia skuad TFC I menjadi milik Hyun Woo, bagaimanapun jodoh bekas pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC musim lalu bersama pasukan itu tidak berpanjangan selepas disahkan terpaksa berehat sehingga enam bulan kerana mengalami kecederaan lutut ketika aksi pramusim bertemu kelab Army FC di Kemboja pertengahan bulan ini.

Mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh kerajaan negeri sebagaimana yang diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, jurulatih berpengalaman itu sedia memikul cabaran itu sebaik mungkin untuk mencapai matlamat berkenaan.

"Ini salah satu objektif kami merangkul sekurang-kurangnya satu piala. Walau bagaimanapun saya akui ini bukan satu tugasan mudah namun kami akan berusaha untuk mencapai impian itu," kata Irfan Bakti. - Berita Harian
Blog, Updated at: 1/27/2018
Loading...