Terengganu FC Akan Memuktamadkan Semula Calon Ketua Pasukan


KUALA TERENGGANU: Kem Terengganu FC I (TFC I) belum memutuskan individu mana yang layak memikul tanggungjawab sebagai kapten untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Penolong jurulatih, Mohamad Nik berkata, setakat ini barisan pengendali yang diketuai Irfan Bakti Abu Salim masih menilai beberapa pemain yang difikirkan mampu memikul tugas selaku jeneral pasukan.

"Sehingga kini kami belum mempunyai calon yang sesuai untuk diberi peranan sebagai kapten kerana kami perlu melihat dalam pelbagai aspek termasuk kepimpinan.

"Justeru, sebelum kami memilih siapa yang bakal menjadi kapten, kami perlu melihat pemain berkenaan mempunyai karakter sebagai ketua dan mampu bertindak baik dalam setiap perlawanan," kata Mohamad yang lebih mesra dipanggil 'Coach Nik' itu.

Ketika aksi persahabatan bertemu Terengganu FC II (TFC II) kelmarin, penyerang import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre diberi kepercayaan sebagai kapten pada babak pertama sebelum diserahkan kepada pemain berpengalaman, Ismail Faruqi Asha'ri pada babak kedua.

Musim lalu, Penyu memberi kepercayaan kepada pemain tengah, Abdul Latiff Suhaimi yang kerap kali bergilir dengan pemain pertahanan import yang digugurkan, Lazaro Vicinius untuk menggalas tugas sebagai kapten.

Mengulas lanjut, Mohamad bagaimanapun berkata, bayangan beberapa pemain yang bakal menggalas tugas berkenaan sudah ada cuma mereka memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan.

"Berkemungkinan aksi pramusim di Kemboja pada 5 Januari ini dan aksi empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu bermula 15 Januari, kami akan menemui calon yang sesuai untuk memikul amanah itu," katanya. - Berita Harian