(VIDEO) Terengganu FC II Atasi Melaka, Jumpa Abang Di Final


KUALA NERUS: Terengganu FC II (TFCII) mencipta kejutan apabila menundukkan Melaka United (MU) 4-3 sekali gus mengesahkan tempat ke pentas akhir kejohanan empat penjuru merebut Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, sebentar tadi.

Kejayaan anak buah Mustaffa Kamal Abd Wahab mengalahkan MU membawa pasukan itu sekali lagi bertemu pasukan 'abang', TFC I, dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.



TFC II yang beraksi dalam Liga Perdana membuka jaringan menerusi tandukan Muhammad Aliff Fitri Jefri berpunca sepakan sudut Muhammad Fakhrurazi Musa seawal minit keempat.

Kesilapan penjaga gol MU, Zamir Selamat yang terjatuh ketika menahan bola dihukum penyerang TFC II, Akanni Sunday Wasiu untuk gol kedua pada minit ke-12.

Serangan balas TFC II berjaya menghasilkan jaringan ketiga menerusi pemain import kelahiran Haiti, Sebastian Thuriere pada minit ke-39.

Seminit babak kedua bersambung, MU yang dibimbing Eduardo Almeida mencipta gol pertama menerusi sepakan penalti Tiago Filipe Figueiras Gomes selepas Mohd Fakri Saarani dijatuhkan Mohamad Hasbullah.

Jaringan itu menyuntik moral pemain MU dan asakan bertali arus mereka akhirnya membawa kepada gol kedua menerusi kapten, R Surendran pada minit ke-58.

Permainan kembali seimbang selepas MU menyamakan kedudukan menerusi Yahor Zubovich yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum memperdayakan Mohd Suhaimi pada minit ke-65.

Gol kemenangan TFC II berjaya dijaringkan pemain gantian, Mohamad Ridzuan Mohd Razali pada minit ke-68. - Berita Harian