Negeri Sembilan Mahu Lebur Rekod Tanpa Kalah Terengganu FC


SEREMBAN: Pemain pertahanan Negeri Sembilan, Mohd Noor Hazrul Mustafa menegaskan kekalahan kepada Melaka sudah dilupakan dan fokus dia dan rakan sepasukan kini meleburkan rekod tanpa kalah Terengganu FC (TFC I) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat ini.

Tonggak berpengalaman berusia 29 tahun itu berkata, persiapan rapi dan strategi lebih mantap perlu dilakukan kerana TFC I dilihat pasukan yang seimbang di setiap bahagian.

Katanya, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu juga membariskan ramai pemain berpengalaman selain tenaga import berwibawa yang dijangka mampu menghalang hajat Negeri Sembilan meneruskan rentak kemenangan di laman sendiri.

"Kekuatan TFC I jelas apabila mereka belum tewas dalam tiga perlawanan lalu, malah pasukan itu baru saja menjadikan Selangor sebagai mangsa dengan kemenangan besar 4-1 pada perlawanan di Kuala Terengganu.

"Walaupun kami memiliki kelebihan kerana beraksi di laman sendiri, tapi kami tidak boleh terlalu yakin untuk dapat laluan mudah kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dan Terengganu sudah pasti akan memberikan tentangan sengit bagi mendapatkan kemenangan.

"Justeru, kami perlu membuat persiapan lebih rapi untuk memastikan kami dapat kekalkan aksi terbaik bagi mengulangi kejayaan menewaskan Kuala Lumpur di gelanggang sama, 7 Februari lalu," katanya di sini, hari ini.

Noor Hazrul yang memasuki musim kedua bersama skuad Hobin Jang Hobin berkata, dia dan rakan terutama di bahagian pertahanan perlu memastikan pergerakan jentera serangan TFC I dapat disekat.

"Apapun, kami perlu kekal fokus dan berikan persembahan terbaik berpandukan strategi diatur jurulatih (Jorg Steinebrunner) dengan setiap peluang gol diterjemahkan dengan jaringan," katanya. - Berita Harian