Permulaan Baik Buat Pasukan Terengganu FC


KUALA TERENGGANU: Status terkini Terengganu FC (TFC) selaku pasukan tunggal yang belum tewas dalam saingan Liga Super 2018 ternyata membangkitkan kegembiraan buat penyokong bola sepak Terengganu.

Malah keupayaan pendatang baharu Liga Super itu berada di kedudukan teratas carta liga walaupun hanya sehari sebelum ini jelas memperlihatkan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu kian serasi dan semakin bernafsu melakar lebih banyak kejayaan.

"Rekod tanpa kalah ini boleh disifatkan sesuatu yang begitu membanggakan buat pasukan yang kembali ke saingan liga utama walaupun sebelum ini hanya sehari bergelar pendahulu Liga Super, " kata Timbalan Presiden Kelab Bolasepak Negeri Terengganu (PETEH), Wan Mohd Azmi Wan Ngah.

"Kejayaan itu juga permulaan yang baik buat skuad Penyu walaupun perjalanan liga masih panjang dan penuh liku.

"Namun jika corak sedemikian ditingkatkan, kami berkeyakinan skuad Peteh Terengganu Peteh itu mampu melangkah lebih jauh lagi musim ini selepas muncul naib juara Liga Perdana musim lalu."

Selepas empat perlawanan liga, skuad Penyu kini menghuni kedudukan kedua dengan mengumpul lapan mata hasil dua kemenangan dan dua kali seri.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Azmi bagaimanapun menuntut barisan pemain tidak terlalu gah dan mendabik dada dengan pencapaian terkini itu sebaliknya perlu meningkatkan lagi prestasi individu dan pasukan dalam misi untuk menjadi pencabar terkuat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Tidak salah pemain meraikan pencapaian itu tapi mereka perlu iringi dengan kekuatan mental dan fizikal serta aksi yang lebih konsisten selain jangan cepat berpuas hati dengan pencapaian terkini kerana ia boleh memakan diri sendiri," kata Wan Mohd Azmi yang mahukan pemain meneruskan rentak kemenangan dalam aksi pusingan kedua Piala FA bertemu pasukan PJ Rangers FC Jumaat ini. - Berita Harian