Terengganu FC Waspada Berdepan PJ Rangers FC


SKUAD Terengganu FC (TFC) dituntut lebih waspada ketika berdepan PJ Rangers FC dalam saingan Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang Sabtu ini.

Penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik mahu pemain membuang sikap sambil lewa bagi mengelak diaibkan pasukan kurang ternama memandangkan banyak kelab seperti itu berjaya melakukan kejutan.

“Dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pun ada kejutan berlaku apabila pasukan kerdil yang tidak diberi harapan berjaya menewaskan pasukan yang ada nama.

“Oleh itu kami tuntut pemain belajar daripada situasi itu bagi memastikan skuad Terengganu FC (TFC) tidak dikecewakan pasukan PJ Rangers FC dalam saingan Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada petang Sabtu ini,” kata penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik.

Mohamad yang lebih mesra dipanggil Coach Nik juga menyeru pemainnya tidak mengambil mudah pada pertemuan itu nanti kerana pasukan bimbingan Hassan Sazali Waras itu juga mempunyai beberapa pemain berpengalaman dan pemain muda berbakat.

Selain itu, bekas pembantu jurulatih FELDA United musim lalu itu turut menuntut anak buahnya mengikis sikap cepat berpuas hati sebaliknya beraksi cemerlang hingga minit terakhir perlawanan.

Bagaimanapun Mohamad tanpa berselindung mengakui sukar 'tidur lena' kerana pemainnya terpaksa beraksi pada sebelah petang yang sedikit-sebanyak bakal mempengaruhi rentak permainan pasukannya kerana pemain belum biasa beraksi sebelah petang.

“Atas kertas kita dilihat mempunyai kelebihan berbanding lawan kerana memiliki pemain import selain moral pemain sudah pasti tinggi kerana berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super dan kini berada di tangga kedua liga.

‘Tapi sebagai mana yang saya tegaskan pemain tidak boleh mengambil mudah dan perlu berwaspada terhadap pasukan daripada Liga FAM itu kerana skuad bimbingan Hassan Sazali itu juga memiliki beberapa pemain berpengalaman termasuk Ronny Harun, Azalinullah Alias, Farhan Abu Bakar dan Thamil Arasu.

“Hal ini ditambah perlawanan itu tidak ada aksi timbal balik, oleh itu kami mengharapkan pemain komited untuk teruskan rentak kemenangan serta tidak menjadikan aksi pada waktu petang sebagai alasan untuk tidak beraksi cemerlang," katanya. - HM