Lawan Terengganu Lagi Penting - Raul Longhi

Posted on Thursday, March 08, 2018 | 3/08/2018



KUALA LUMPUR: Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Raul Longhi tetap mempertahankan keputusannya menurunkan hanya pemain tempatan ketika menentang Tampines Rovers, semalam yang menyaksikan Harimau Selatan terikat tanpa jaringan pada perlawanan Kumpulan H Piala AFC. 

Pengendali dari Argentina itu membuat pertaruhan berani apabila tidak menurunkan pemain import iaitu Natxo Insa, Luciano Figueroa dan Marcos Antonio serta kapten Safiq Rahim.

Dan beliau mengakui penggiliran pemain terpaksa dilakukan bagi memastikan pemain berada di tahap terbaik menjelang pertembungan dua pasukan teratas Liga Super dengan Terengganu di Kuala Terengganu, Sabtu ini. 

"Terdapat beberapa pemain yang direhatkan bagi tujuan penggiliran kerana kami mempunyai perlawanan yang amat penting di Terengganu pada Sabtu dan itulah perbezaan yang dapat dilihat dalam perlawanan ini.

Mereka juga sudah mengharungi jadual perlawanan yang agak padat sebelum ini. Itulah masalahnya dan kami perlu merehatkan mereka.

"Bagaimanapun, saya gembira dengan percubaan pemain pada perlawanan ini, namun saya tetap tidak berpuas hati dengan keputusan keseluruhan," kata Longhi.

Satu mata yang dipungut dari Stadium Jalan Besar itu menyaksikan JDT kini menduduki tangga kedua kumpulan, berkongsi empat mata bersama kelab Indonesia, Persija Jakarta yang menduduki tangga ketiga.

Kelab Vietnam, Song Lam Nghe An FC yang menewaskan skuad Harimau Selatan 2-0 sebelum ini unggul di tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata manakala wakil Singapura, Tampines berada di kedudukan tercorot selepas mengutip satu mata daripada tiga perlawanan. 

Longhi berkata, aksi di padang sintetik sedikit menyukarkan permainan anak buahnya, namun percaya mampu bangkit apabila mereka menanti kunjungan Tampines pada 14 Mac ini. 

"Pemain sudah cuba bermain dengan menggunakan taktikal hantaran pendek dan ia sedikit sukar di atas padang sintetik.

"Namun, inilah bola sepak. Padang kami berbeza dan saya jangkakan Tampines Rovers akan mengalami sedikit kesukaran untuk bermain di padang kami memandangkan mereka sentiasa bermain di atas padang sintetik.

"Kami hanya berjaya membawa pulang satu mata sahaja. Justeru, kami perlu memenangi perlawanan di Larkin," katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 3/08/2018