Tchetche Tekad Kekal Rekod Bersih Dan Sokongan Penyokong

Posted on Friday, March 09, 2018 | 3/09/2018



Tonggak Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche, berazam memimpin pasukannya menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi tumpuan di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Sambil mengakui kualiti juara Liga Super empat kali berturut-turut itu, Tchetche optimis TFC mampu merampas teraju liga, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

Tchetche, 30, juga tidak sabar menanti kehadiran penyokong Sang Penyu untuk menenggelamkan aura Harimau Selatan dalam perlawanan itu.

“Sokongan padu penyokong mampu menyuntik moral pasukan. Kami tahu mereka berada di belakang sebagai ‘tenaga tambahan’ buat pasukan.

“Sebagai kapten, saya mahu TFC mengekalkan rekod bersih dan yakin kami boleh melakukannya,” kata penggempur kelahiran Ivory Coast itu.

Mengulas lanjut, Tchetche menegaskan dia tidak berdepan tekanan dalam penampilan sulung bertemu JDT, sebaliknya teruja untuk membantu TFC mengekalkan rentak kemenangan.

“Kami sudah bersedia untuk perlawanan ini dan akan beraksi seperti kebiasaan selain mengikut setiap arahan jurulatih.

“Secara peribadi saya tidak tertekan kerana ini adalah aksi yang ditunggu-tunggu dalam karier mana-mana pemain,” tambahnya.

Aksi dua pasukan teratas itu Sabtu ini, pasti mencuri perhatian dengan TFC kini di prestasi terbaik berpeluang memintas JDT di kedudukan teratas andai menang ke atas juara bertahan itu. - Arena
Blog, Updated at: 3/09/2018