Irfan Bakti Akui Persiapan Sedikit Terjejas

Posted on Wednesday, April 04, 2018 | 4/04/2018



Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, mengakui kecederaan Abdul Malik Mat Ariff dan Mohd Shahrul Aizad merencatkan persiapannya apabila Liga Super bersambung, minggu depan.

Dua tonggak tengah itu disahkan akan berehat panjang dengan Abdul Malik mengalami kecederaan pergelangan kaki dan terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya enam minggu.

TFC turut kehilangan khidmat Shahrul Aizad untuk tempoh tiga bulan akibat kecederaan ligamen lutut (MCL) ketika aksi Piala FA bertemu Selangor, bulan lalu.

Situasi dialami dua tonggak itu juga menyaksikan jurulatih berpengalaman itu membuat keputusan menyerap pemain TFC II, Muhammad Aliff Fitri Jefri dan Muhammad Haidhir Suhaini, ke dalam skuad utama.

“Saya akan menilai kemampuan dua pemain muda ini. Apa yang mereka perlu lakukan ialah jangan rasa rendah diri dan buktikan mereka layak beraksi di Liga Super,” katanya.

Selain itu, Irfan mengakui pertukaran awang import, Lee Jun-Hyeob dengan Bruno Junichi Suzuki didorong masalah prestasi Jun-Hyeob yang bergelut merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Ya, sudah tentu saya mengharapkan impak segera dari Bruno kerana dia ada pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia malah prestasinya bersama TFC II juga agak baik.

“Kehadirannya diharap menajamkan lagi barisan serangan dan membentuk gandingan bersama kapten, (Kipre) Tchetche,” jelas Irfan. - Arena
Blog, Updated at: 4/04/2018
Loading...