Rasa Macam Sedang Bermimpi...


Kuala Terengganu: Muhammad Aliff Fitri Jefri mengakui bagaikan bermimpi selepas diserap masuk bagi memperkasakan pasukan ‘abang’, Terengganu FC (TFC) yang bersaing di Liga Super.

Pemain kelahiran Kampung Maras, Batu Rakit itu berkata peluang yang hadir itu tidak dilepaskan dan akan bekerja keras merebut tempat dalam pasukan itu.

Bekas pemain Piala Presiden Terengganu berusia 22 tahun itu berkata, dia berterima kasih kepada ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim yang memberi kepercayaan dan peluang menyertai pasukan ‘abang’.

“Ini mungkin rezeki saya bukan saja bermain di Liga Super, malah dapat menimba ilmu dengan jurulatih berpengalaman seperti Irfan dan sememangnya saya menanti detik ini.

“Jadi, saya tidak akan persiakan peluang keemasan ini dan akan bekerja keras bagi meningkatkan permainan bersama TFC,” katanya.

Dua lagi tonggak TFC II yang diserap masuk ke dalam pasukan TFC ialah Mohammad Haidhir Suhaini dan pemain import, Bruno Junichi Suzuki dengan pemain kelahiran Korea Selatan, Lee Jun-Hyeob yang bertukar tempat.

Tiga tonggak TFC II itu juga mula menjalani latihan sulung di bawah kendalian Irfan di padang Kompleks Sukan Gong Badak, petang semalam.

Muhammad Aliff berkata, dia akan berusaha bagi merebut tempat utama dalam skuad Penyu sekalipun sedar dibarisi pemain yang berkualiti dan berpengalaman.

“Saya juga mengharapkan sokongan padu daripada rakan sepasukan dan penyokong bagi meningkatkan corak permainannya ketika beraksi sekali gus dapat membantu merealisasikan sasaran TFC musim ini,” katanya. - Harian Metro