Terengganu FC Tempang Terima Kunjungan Kedah FA Jumaat Ini


KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) yang bakal membuat perhitungan dengan Kedah pada Jumaat ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bakal membariskan skuad kedua selepas empat tonggak utamanya belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Selain itu, penurunan prestasi beberapa pemain akibat rehat yang terlalu lama juga sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan skuad bimbingan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu.

Khabar duka itu dinyatakan penolong jurulatihnya, Mohamad Nik yang mengakui sedikit resah berdepan skuad dari utara itu dalam misi meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya menewaskan Melaka United (MU) 3-0 di laman lawan pada 13 April lalu.

"Beraksi di laman sendiri sudah pasti kami mengidam untuk mengutip mata penuh apatah lagi kini kami ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim yang mengungguli dengan 15 mata.

"Bagaimanapun kecederaan dialami pemain import yang juga penyerang utama kami, Kipre Tchetche dan tiga pemain tonggak tempatan iaitu Abdul Malik Mat Ariff, Nasrullah Hanif Johan dan Mohd Shahrul Aizad Zulkufli sudah pasti sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan pasukan.

"Keadaan ini ditambah pula dengan rehat yang lama menyebabkan corak permainan mereka sedikit terjejas," kata Mohamad yang tidak menyalahkan anak buahnya 100 peratus walaupun pasukannya tewas 0-1 dalam aksi persahabatan bertemu Kelantan Jumaat lalu di laman lawan.

Mengulas lanjut, bekas pemain tengah kebangsaan itu berkata, beliau bersama barisan jurulatih akan menyenaraikan beberapa pemain simpanan bagi menggantikan pemain cedera dan kurang cergas ketika bertemu skuad Helang Merah itu nanti.

"Sebelum aksi Liga Malaysia (Liga M) bermula, kami sudah memaklumkan kepada semua pemain supaya sentiasa bersedia walaupun kerap memanaskan bangku simpanan kerana pada bila-bila masa saja mereka akan disenaraikan dalam kesebelasan utama.

"Justeru inilah peluang terbaik buat semua pemain memperagakan aksi terbaik bagi merebut peluang dalam pasukan," kata Mohamad yang juga bekas pemain tengah pasukan Terengganu era 80-an. - Berita Harian