Ujian Pertama Lee Jun-hyeob Untuk Buktikan Kemampuan


KUALA TERENGGANU: Lee Jun-hyeob dituntut segera menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan baharunya, Terengganu FC II (TFCII) bagi aksi menentang FELDA United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Jun-hyeob yang sebelum ini beraksi bersama skuad utama, Terengganu FC (TFC) diturunkan pangkat menyertai pasukan 'adik' yang bersaing dalam Liga Perdana musim ini.

Sebagai ganti, tonggak utama TFCII, Bruno Junichi Suzuki pula memperkuatkan jentera serangan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dalam saingan Liga Super.

Pengendali TFCII, Mustaffa Kamal Abd Wahab, mengakui pemain import dari Korea Selatan berusia 28 tahun itu memerlukan sedikit masa untuk memahami corak permainan rakan sepasukan dalam TFCII.

Namun, beliau tetap yakin Jun-hyeob pasti menyerlah bersama TFCII dan ujian sulungnya bersama pasukan ini ialah bertemu The Fighters yang kini pendahulu liga di laman sendiri.

"Saya mahu dia membuktikan kemampuan sebenarnya dengan mempamerkan persembahan terbaik ketika pertemuan dengan FELDA United.

"Sekalipun masih baru bersama pasukan, itu bukan alasan untuk gagal beraksi cemerlang membantu pasukan mencatat kemenangan," katanya.

Mustaffa Kamal berkata, pasukannya sudah melakukan persiapan cukup rapi kerana sedar lawan memiliki majoriti barisan pemain berkualiti selaku pasukan bertaraf Liga Super.

"Ketiadaan Bruno dan Mohammad Haidhir Suhaini sedikit menjejaskan rentak permainan. Tetapi, saya sudah ada pengganti mereka dan berharap menggalas tugas dengan baik. - Berita Harian