(VIDEO) Terengganu FC II Di Jinak Felda United FC


FELDA United mengekalkan rekod bersih apabila mencatat kemenangan keenam berturut-turut menewaskan Terengganu FC II (TFC II) 2-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.



Turun selaku pendahulu liga, The Fighters tidak menunggu lama untuk mencemaskan gawang tuan rumah dengan tandukan Gilberto Fortunato tepat ke dakapan penjaga gol, Mohd Farizal Harun minit keenam.

Pada minit ke-11, penyerang TFCII, Akanni Sunday Wasiu mempersiakan peluang dalam kotak penalti apabila rembatannya tidak menepati sasaran.

Lima minit kemudian, larian solo penyerang tuan rumah, Mohammad Rahmat Makasuf hampir meletakkan pasukannya di depan namun rembatannya berjaya ditepis keluar Mohd Farizal.

Tidak lama selepas itu, gawang tuan rumah terselamat lagi apabila bola rembatan Lain Ramsay terkena tiang sebelum tandukan susulan Fortunato melepasi palang.

Di hujung babak pertama, FELDA United memanfaatkan peluang dan kapten, Shukor Adan menjaringkan gol pelawat hasil sepakan sudut Wan Zack Haikal Wan Nor.

Bersambung babak kedua, anak buah B Sathianathan terus melakukan asakan dengan dua percubaan yang diselamatkan penjaga gol TFCII, Mohd Suhaimi Husin manakala Thiago Fernandes terlepas peluang mencetak nama sebagai penjaring apabila tandukannya singgah di palang gol.

Bagaimanapun, FELDA United menggandakan kelebihan dengan gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Thiago pada minit ke-63. - Harian Metro