Aksi Wan Azraei Dipuji..


KUALA TERENGGANU: Penjaga gol nombor dua Wan Azraie Wan Teh mendapat pujian jurulatih Terengganu FC (TFC) apabila dia menggagalkan beberapa percubaan berbahaya pemain Pahang dalam aksi Liga Super, minggu lalu.

Malah, lebih menggembirakan jurulatih biarpun kali pertama diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama, ternyata sepasang tangan milik penjaga gol berasal dari Kuala Ibai, dekat sini cukup bermakna buat pasukan.

"Boleh saya katakan antara salah satu faktor kemenangan kami dalam perlawanan itu adalah persembahan baik dan ketangkasan Wan Azraie yang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya penyerang lawan.

"Selain itu, Wan Azraie juga tidak kekok ketika beraksi dalam kesebelasan utama malah dia mempamerkan aksi sebenarnya dan secara keseluruhan kami berpuas hati," kata penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik.

Sebelum ini, penjaga gol Pahang musim lalu dan T-Team pada 2016 itu hanya memanaskan bangku simpanan selepas dibayangi penjaga gol berpengalaman berusia 40 tahun, Suffian Abdul Rahman.

Kecemerlangan penjaga gol berusia 32 tahun itu membantu pasukannya menang 1-0 ke atas Pahang sekali gus menebus kekecewaan tewas di laman sendiri 1-3 pada 1 Mei lalu. - BH