Bruno Suzuki Terus Berusaha, Tak Putus Asa

Posted on Wednesday, May 30, 2018 | 5/30/2018



KUALA TERENGGANU: Biarpun masih gagal mencipta nama sebagai penjaring, penyerang Terengganu FC (TFC), Bruno Suzuki tidak gusar sebaliknya yakin rezekinya akan tiba juga.

Pemain kelahiran Brazil yang mendapat taraf kerakyatan Jepun itu turut mengakui keserasiannya bersama Kipre Tchetche di jentera serangan menambahkan lagi keyakinannya memburu jaringan peribadi pertama.

"Setiap kali disenaraikan dalam pasukan, pasti saya berhasrat menghasilkan jaringan untuk membantu pasukan apatah lagi gandingan saya dengan Tchetche kian serasi sejak digandingkan dua bulan lalu.

"Namun selepas tujuh perlawanan liga, saya masih buntu untuk meledak jaringan. Tapi saya percaya peluang untuk menghasilkan jaringan pasti tiba suatu hari nanti," katanya.

Bekas penyerang skuad Terengganu FC II (TFC II) itu membuat penampilan pertama bersama pasukan TFC ketika pasukannya bertemu Melaka United (MU) dalam aksi pusingan pertama pada 13 April lalu.

Bagaimanapun sehingga pertemuan pusingan kedua bertemu sekali lagi dengan pasukan MU pada Sabtu lalu, penyerang yang pernah beraksi bersama kelab Home United di Liga Singapura itu masih buntu walaupun mempunyai peluang untuk meledak jaringan.

Musim lalu, ketika menyarung jersi Negeri Sembilan, pemain berusia 28 tahun itu berjaya meledak 11 gol.

Mengulas lanjut Suzuki sedar bukan tugas mudah buat seseorang penyerang meloloskan diri daripada kepungan benteng pertahanan lawan dalam saingan Liga Super.

"Tapi saya tidak mahu mencipta alasan sebaliknya saya sedar perlu bekerja lebih keras lagi bagi memastikan kemarau jaringan dapat segera ditamatkan bagi membantu pasukan mencatat kemenangan setiap kali beraksi.

"Justeru, pertemuan dengan Kuala Lumpur Sabtu ini saya akan berusaha lebih baik lagi dalam misi membantu pasukan meneruskan rentak kemenangan selain saya sendiri berazam untuk mencetak nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan itu," katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 5/30/2018

0 comments: