Dua Misi Kipre Tchetche..


KUALA TERENGGANU: Dua misi penting menjadi buruan kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche apabila melayani kunjungan Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu berkata, setiap pemain pasti mempunyai misi tersendiri sama ada misi peribadi mahupun bersama pasukan.

"Bagi saya sebagai kapten, ialah mahu pastikan tiga mata menjadi milik skuad Penyu sekali gus mengintai kedudukan lebih selesa dalam carta liga.

"Misi kedua pula mahu menebus kehampaan tewas 2-3 dalam pusingan pertama di gelanggang lawan pada 6 Mei lalu yang masih terasa. Dalam perlawanan itu saya baharu saja beraksi semula selepas kembali pulih daripada kecederaan," kata Tchetche.

TFC yang mengumpul 15 mata daripada 10 perlawanan kini berada di pertengahan liga selepas merekod empat kemenangan, tiga kali seri dan tewas serta ketinggalan 10 mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Tazim (JDT).

Mengulas lanjut, anak bongsu daripada enam beradik itu yang kini mengumpul tujuh jaringan termasuk satu gol dalam saingan Piala FA mengingatkan rakan sepasukan perlu menampilkan aksi luar biasa kerana Perak sebuah pasukan yang liat ditumpaskan.

Selain itu dia yang pernah beraksi dalam Liga Oman bersama kelab Al-Suwaiq turut menggesa rakan sepasukan mengawal ketat rangkaian penyerang skuad itu selain perlu mematahkan setiap gerakan mereka bermula di posisi tengah lagi.

"Kita hilang tiga mata di laman mereka tempoh hari dan untuk aksi malam esok kita perlu mengalahkan mereka, namun apa yang penting rakan sepasukan perlu lebih bersemangat walaupun beraksi pada bulan puasa selain mengharapkan sokongan padu daripada peminat setia," kata Tchetche. - Berita Harian