Harap Pemain Bangkit - Irfan Bakti


KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim enggan terburu-buru menghukum anak buahnya berikutan dua kekalahan berturut-turut sebaliknya beliau percaya pemainnya mampu bangkit dalam aksi seterusnya menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jumaat ini.

Irfan turut yakin jentera serangannya kembali tajam dengan kehadiran semula penyerang sensasi, Kipre Tchetche.

“Saya akui begitu kecewa selepas tumpas dalam dua aksi berturut-turut, tapi dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku dan saya percaya mereka akan bangkit memburu kemenangan bertemu Pahang selepas ini.

“Hal ini ditambah dengan kembalinya Tchetche daripada masalah kecederaan sekali gus memberi keyakinan kepada pasukan untuk menamatkan episod kekalahan itu.

“Oleh itu, walaupun kini makin jauh ketinggalan dengan pendahulu liga, JDT (Johor Darul Ta’zim), tapi kami tidak mahu menghukum pemain sebaliknya menuntut aksi lebih konsisten daripada mereka,” kata Irfan.

Dalam dua aksi terdahulu, skuad yang terkenal dengan slogan Peteh Terengganu Peteh itu dimalukan skuad Tok Gajah 1-3 di laman sendiri pada 1 Mei lalu dan terbaharu Ahad lalu tunduk kepada Perak 2-3 sekali gus menimbulkan persoalan mengenai corak yang diamalkan jurulatih berpengalaman itu.

Mengenai kerapuhan benteng pertahanan hingga dibolosi enam gol dalam dua perlawanan, Irfan menuntut anak buahnya supaya lebih fokus bagi mengelak daripada mudah ‘dimakan’ skuad Pahang.

“Kami akan menerapkan strategi berbeza apabila berdepan Pahang dengan memberi penekanan dalam aspek bertahan selain menyerang,” kata Irfan.  - Berita Harian