Irfan Bakti Kecewa..

Posted on Wednesday, May 02, 2018 | 5/02/2018



KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengaku kecewa dengan persembahan pemainnya yang mudah diaibkan Pahang di laman sendiri, malam tadi.

Malah, jurulatih berkenaan turut hairan melihat aksi serba tidak menjadi anak buahnya walaupun mempunyai peluang untuk mencatat kemenangan.

Lebih mendukacitakan pengendali berusia 67 tahun itu ialah anak buahnya mudah 'dimakan' Pahang sehingga ada pemainnya melakukan kesilapan yang seterusnya mengundang padah buat pasukan.

"Kami senang sangat dimakan pihak lawan dan jika kita lihat ketiga-tiga gol Pahang adalah hasil kemahiran individu. Ia tidak seharusnya berlaku sehingga saya terpaksa melakukan pertukaran.

"Selain itu, sikap pemain yang terlalu memberi ruang kepada lawan menyebabkan pemain tengah pelawat mudah menguasai permainan sehingga kami gagal mencipta peluang terutama pada babak kedua.

"Kesilapan pemain yang hanya melihat lawan bermain bola tapi tidak mengekangnya menyebabkan kami gagal mengutip sebarang mata apatah lagi perlawanan berlangsung di laman sendiri," kata Irfan.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti tanpa berselindung menyatakan jentera serangannya yang diketuai pemain pinjaman Terengganu FC II (TFC II), Akanni Sunday Wasiu kurang tajam dan menyebabkan skuad Penyu berputih mata.

"Sukar untuk saya nyatakan tapi ketumpulan barisan serangan antara salah satu faktornya selain pemain kurang agresif," ujar Irfan. - Berita Harian
Blog, Updated at: 5/02/2018