Irfan Bakti Puji Disiplin Tinggi Pemain Terengganu FC


KUANTAN: Disiplin tinggi dipamerkan Terengganu FC (TFC) sepanjang 90 minit membantu skuad itu mengecewakan Pahang 1-0 pada aksi Liga Super, malam tadi.

Pengendali pasukan, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kemenangan itu juga menebus dua kekalahan berturut-turut yang dialami termasuk tewas 1-3 pada pusingan pertama liga di Kuala Terengganu, 1 Mei lalu.

"Sebelum perlawanan, saya sudah katakan kepada pemain mereka perlu menang walaupun beraksi di tempat lawan dan mereka membuktikannya selepas mengalami dua kekalahan.

"Disiplin terutama ketika bertahan membantu pasukan untuk mencatat kemenangan.

"Saya gembira dengan keputusan ini dan pada masa sama menebus kembali kekalahan kepada Pahang pada perlawanan pusingan pertama," katanya.

Sementara itu, kapten Kipre Tchetche berkata, baki 10 minit terakhir perlawanan amat mendebarkan kerana tuan rumah menggandakan asakan ke kubu pasukan.

Namun, dia gembira kerana komitmen tinggi yang dipersembahkan rakan sepasukan menafikan peluang skuad Tok Gajah untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata.

"Mengenai persembahan, kami sudah melakukan yang terbaik dan kemenangan ini menaikkan moral untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan akan datang."

Pada perlawanan itu, gol tunggal Faiz Nasir pada babak kedua membantu skuad Penyu mengutip tiga mata. - BH