Kipre Tchetche Bangga Dengan Rakan Sepasukan

Posted on Thursday, May 24, 2018 | 5/24/2018



Kejayaan mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Liga Super melonjakkan Terengganu FC (TFC) untuk kembali menyaingi kelompok atasan.

Menurut penyerang prolifiknya, Kipre Tchetche, respons ditunjukkan rakan-sepasukannya dalam dua perlawanan lalu cukup membanggakan selepas dibayangi prestasi tidak menentu sebelum ini.

Kemenangan 2-0 ke atas Perak semalam juga disifatkannya cukup bermakna walaupun mengakui dibantu kelebihan jaringan awal untuk membenarkan TFC beraksi dengan lebih yakin.

Mengulas lanjut perlawanan itu, Tchetche yang menggalas tugas selaku kapten berkata, arahan diberikan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, diterjemahkan walaupun diasak pasukan lawan pada penghujung permainan.

"Banyak kesilapan dilakukan dalam aksi di Ipoh, jadi kali ini kami menghalang Perak daripada membuat serangan balas serta mengawal pergerakan pemain berbahaya mereka seperti Wander Luiz," ujarnya.

Ketiadaan penggempur kelahiran Ivory Coast itu yang tercedera bulan lalu ternyata menjejaskan keputusan TFC, namun kembalinya Tchetche boleh dikatakan tepat pada masanya tatkala Liga Super memasuki pusingan kedua.

Kehadirannya dalam aksi bertemu Pahang di Kuantan, Jumaat lalu, mencetuskan kebangkitan Sang Penyu walaupun dia masih berusaha mendapatkan semula kelincahannya.

"Saya gembira dapat kembali menyertai pasukan ini.

"Kecederaan itu masih dirasai, namun pasukan perubatan bekerja keras untuk memastikan kecergasan dan prestasi saya kekal di tahap terbaik," tambah Tchetche. - Arena
Blog, Updated at: 5/24/2018

0 comments:

Loading...