Liga Malaysia Kekal Aktif Di Bulan Ramadhan


PERLAWANAN UNIFI LIGA SUPER DAN 100PLUS LIGA PREMIER BERLANGSUNG SEPERTI BIASA SEPANJANG RAMADHAN

Bulan Ramadhan dijangkakan bakal jatuh pada 17 Mei 2018 (Khamis) dan seluruh umat Islam di seluruh dunia bakal menjalani ibadah berpuasa selama sebulan. Berpuasa merupakan amalan yang memberikan banyak faedah baik dari segi rohani dan jasmani.

Ketibaan bulan Ramadhan tidak menghalang kita untuk sentiasa aktif dalam kehidupan seharian bahkan adalah lebih digalakkan. Sehubungan dengan itu, pihak Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) telah meluluskan Kalendar Liga Malaysia 2018 pada 19 September 2017 yang telah memperuntukkan untuk mengadakan perlawanan Liga sepanjang Ramadhan tahun ini.

Dua perlawanan 100PLUS Liga Premier 13 (LP13) pada 21 Mei 2018 (Isnin) antara Felcra FC menentang Terengganu FC II dan UiTM FC menentang Felda United FC menjadi permulaan perlawanan Liga Malaysia pada bulan Ramadhan.

Waktu sepak mula perlawanan sepanjang bulan Ramadhan juga telah diubah kepada jam 10 malam (jam 9:15 malam untuk perlawanan di Sabah dan Sarawak) bagi memberikan ruang buat seluruh umat Islam berbuka puasa serta menjalani ibadah Terawih. Perkara ini telah pun dimaklumkan kepada semua 24 pasukan sejak awal Januari 2018. Rujukan jadual semasa bulan Ramadhan: KLIK SINI

Antara faktor utama perlawanan tetap dijalankan bagi bulan Ramadhan ini ialah agar Liga Malaysia dapat mengekalkan momentum setiap pasukan sehingga penghujung musim sekaligus menjadikan Liga Malaysia lebih kompetitif dan juga untuk mengelakkan kepadatan jadual.

Selain itu, mengikut perancangan dirangka oleh Unit Pertandingan MFL kesemua perlawanan Liga Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia mahu diselesaikan sebelum Oktober. Ini kerana untuk memberikan laluan buat pemain-pemain yang bakal berkhidmat untuk pasukan kebangsaan dalam kejohanan AFF Suzuki Cup 2018 pada awal bulan November. - MFL