Sedikit Risau Ketiadaan Lee Tuck - Kipre Tchetche

Posted on Friday, May 25, 2018 | 5/25/2018



KUALA TERENGGANU: Skuad Terengganu FC (TFC) sedikit tempang bertemu Melaka United (MU) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok selepas arkiteknya, Lee Tuck terpaksa menjadi penonton akibat digantung satu perlawanan.

Ketiadaan pemain digelar Rooney Terengganu itu pasti memberi tamparan hebat buat skuad Peteh Terengganu Peteh kerana pemain kelahiran England itu adalah nadi di posisi tengah.

Bekas pemain Negeri Sembilan musim lalu itu yang juga penjaring kedua terbanyak pasukan dengan empat gol  tidak dapat beraksi selepas menerima kad kuning ketiga ketika pasukannya menundukkan Perak 2-0 di laman sendiri Selasa lalu.

Bagaimanapun ketua jurulatih pasukan itu, Irfan Bakti Abu Salim tidak begitu resah sebaliknya pengemudi berpengalaman itu sudah merencana strategi ampuh untuk mengimbangi kekuatan lawan terutama di jentera tengah.

"Ya kita memerlukan khidmat Tuck untuk mengemudi posisi tengah berdasarkan prestasi cemerlangnya sebelum ini, namun kita tiada pilihan kecuali menerapkan strategi dan taktikal berbeza bertemu MU nanti selepas pemain itu tidak dapat beraksi.

"Kita juga sudah mengenal pasti pemain yang bakal memikul tugas ditinggalkan pemain itu dan kita akan menilai ketika sesi latihan bagi memastikan tiga mata menjadi milik kami sekali gus meneruskan rentak kemenangan tiga kali berturut-turut," kata Irfan.

Berdasarkan prestasi semasa, antara pemain mampu memikul posisi berkenaan ialah penolong kapten, Abdul Latiff Suhaimi, pemain kelahiran  kemboja Thierry Chantha Bin, Muhamad Faiz Mohd Nasir dan Abdul Malik Mat Ariff.

Sementara itu kapten pasukan, Kipre Tchetche mengakui dia sedikit risau kerana Tuck adalah pemain yang rajin dan juga perancang utama pasukan.

"Saya sedikit risau ketiadaan Tuck kerana pemain itu adalah arkitek pasukan, namun dalam masa sama ketua jurulatih pasti ada perancangan tersendiri apabila bertemu MU nanti," kata Tchetche. - Berita Harian
Blog, Updated at: 5/25/2018

0 comments: