Terengganu FC Cari Pemain Import Baharu


KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim berhasrat untuk mengikat pemain import baharu bagi memperkasakan posisi serangan yang dilihat kurang tajam.

Bagaimanapun pengendali berusia 67 tahun itu yang mula membimbing skuad Penyu sejak musim lalu masih belum mendapat 'lampu hijau' daripada pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

"Ya, saya berhasrat untuk menambah kekuatan di jentera serangan, tetapi dalam masa sama kami belum lagi berbincang secara lebih lanjut dengan pihak pengurusan PBSNT.

"Mungkin selepas pertemuan dengan Pahang nanti kita akan berbincang secara lebih terperinci dengan pihak pengurusan mengenai pengambilan pemain import baharu kerana sudah pasti ia membabitkan soal kewangan," kata Irfan Bakti.

Ketika ditanya siapa pemain import yang bakal diketepikan dalam skuad Penyu itu, Irfan Bakti berkata, beliau membayangkan untuk menghantar kembali penyerang kelahiran Brazil, Bruno Suzuki ke pasukan asalnya Terengganu FC II (TFC II).

"Dalam masa sama kita berhasrat untuk menggantikan pemain import TFC II yang juga bekas pemain TFC, Lee Jun-hyeob dengan penyerang baharu untuk diserap dalam pasukan TFC, tetapi ia bergantung kepada kewangan dan lampu hijau daripada PBSNT.

"Jika kita dapat pengesahan daripada PBSNT, kita akan mencari pemain yang lebih berkualiti bagi mengisi posisi penyerang untuk bergandingan dengan penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche," katanya.

Dalam tiga aksi terdahulu skuad Penyu itu bagaikan kemarau jaringan apabila tumpas kepada Pahang dan Perak selain seri dengan Kedah selepas ketiadaan Tchetche yang mengalami kecederaan paha ketika bertemu Melaka United pada April lalu.

"Selain pemain import, kita juga berhajat untuk mengikat pemain tempatan yang berkualiti, tapi setakat ini kita belum menemui pemain yang diingini untuk diserapkan dalam pasukan biarpun jendela kedua perpindahan pemain yang mula dibuka sejak 7 Mei lalu akan berakhir pada 3 Jun depan," ujar Irfan Bakti. - BH