Terima Kasih Irfan Bakti - Kipre Tchetche


Kuala Terengganu: Ketua pasukan Terengganu FC, Tchetche Kipre gembira dengan prestasi dipamerkan pasukannya selepas berjaya meraih 3 mata berharga hasil kemenangan 1-0 menentang Pahang di Stadium Darul Makmur pada Jumaat.

Penyerang daripada Ivory Coast itu berada dalam prestasi terbaik buat Sang Penyu musim ini, menjaringkan tujuh gol dalam semua kejohanan serta berkongsi kedudukan kedua penjaring terbanyak unifi Liga Super Malaysia tahun ini.

Terengganu FC naik ke kedudukan ke-5 liga hasil jaringan tunggal Faiz Nasir dalam perlawanan menentang Pahang. Sebelum itu, Terengganu tewas dua perlawanan liga berturut-turut.

"Kemenangan ke atas Pahang begitu penting buat kami kerana sebelum itu kami kalah dua perlawanan berturut-turut (menentang Pahang dan Perak), walau bagaimanapun kami berjaya menamatkan badi kekalahan itu dan meraih tiga mata penting," kata Kipre.

"Kami berhasrat untuk menamatkan saingan liga di kelompok lima teratas, tetapi saingan masih panjang.

Kipre memuji ketua jurulatih Irfan Bakti kerana berterusan memberikan kepercayaan kepada beliau biarpun ketika mengalami kemarau gol. Pemain berumur 31 tahun itu merupakan satu-satunya pemain import yang dikekalkan Irfan dari musim lepas.

"Saya gembira apabila selama ini beliau (Irfan) memberikan kepercayaan sepenuhnya buat saya.

"Dia percaya pada kebolehan saya dan saya ingin membalas jasa beliau kerana tidak pernah putus asa dengan saya."

Kipre bermain di Tanzania selama lima tahun sebelum berpindah ke Oman bermain untuk kelab Al-Nahda dua tahun lalu. Beliau seterusnya bermain untuk Al-Suwaiq dan membantu pasukannya menjuarai Piala Sultan Qaboos 2017.

Beliau menyertai Terengganu pada pertengahan musim tahun lalu dan menjaringkan sembilan gol dalam 100PLUS Liga Premier Malaysia 2017 dan melayakkan diri ke Liga Super Malaysia. - MFL