Jangan Biar Jang Hobin - Irfan Bakti

Posted on Tuesday, June 26, 2018 | 6/26/2018



KUALA TERENGGANU: "Pemain jangan tidur di dalam padang, sebaliknya perlu lebih fokus untuk mencatat kemenangan bertemu Negeri Sembilan!"

Itu amaran keras pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim kepada anak buahnya menjelang pertemuan Liga Super dengan Negeri Sembilan Rabu ini.

Ia bagi mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengulangi aksi bagaikan  'penonton' apabila diasak pihak lawan sebagaimana pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) Rabu lalu yang berakhir dengan kekalahan 2-0.

Irfan berkata, pertemuan dengan skuad Hobin Jang Hobin perlu diterjemahkan dengan kemenangan bagi mengelak keciciran mata dalam misi menamatkan saingan liga di kedudukan tiga terbaik.

"Justeru saya tidak mahu lihat lagi ada pemain yang leka, melakukan kesilapan mudah, hilang fokus ataupun tidur kerana ini adalah peluang terbaik untuk mengutip tiga mata kerana beraksi di laman sendiri dengan sokongan ribuan peminat setia," kata Irfan.

"Saya juga turut mengharapkan jentera serangan yang diketuai (Kipre) Tchetche, harus memanfaatkan peluang terhidang dengan jaringan terutama selepas gagal meledak gol ketika bertemu JDT biarpun peluang sudah terbuka."

Pada pertemuan itu nanti, pengendali berusia 67 tahun itu menarik nafas lega apabila semua tonggak utamanya bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan perlawanan.

"Bagaimanapun kami tidak mahu pemain yang akan diturunkan pada Rabu ini mengambil mudah keupayaan lawan biarpun pernah menundukkan skuad itu 2-1 dalam aksi pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Februari lalu.

"Biarpun skuad itu berada di kelompok bawahan liga, tapi sebenarnya pasukan mereka sudah kembali bangkit dengan wajah baharu dengan kemasukan pemain import dan tempatan yang berbeza selain ditambah jurulatih baharu.

"Oleh itu kita perlu berwaspada dengan ancaman yang bakal dipamerkan oleh anak buah Mario Lemos itu," katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 6/26/2018

0 comments:

Loading...