Jentera Tengah Perlu Lebih Fokus - Irfan Bakti

Posted on Wednesday, June 27, 2018 | 6/27/2018



KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) sudah merangka strategi mujarab untuk menewaskan Negeri Sembilan (NS) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Tetapi ketua jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim tetap melahirkan rasa gusar mengenai kombinasi jentera tengah pasukannya.

Menurut Irfan Bakti, beliau tidak mahu menuding jari kepada sesiapa mengenai kelemahan posisi berkenaan, tapi jentera tengah pasukan harus segera diperbaiki dan diperkuatkan kerana posisi itu adalah nadi sesebuah pasukan.

Jentera tengah skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu dibarisi pemain berpengalaman termasuk pemain import dari England, Lee Tuck dan pemain dari Kemboja, Thierry Chantha Bin selain pemain tempatan Mohd Faiz Mohd Nasir.

"Gandingan pemain tengah perlu diperkemaskan lagi kerana saya lihat masih longgar sebagaimana ketika pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim minggu lalu sehingga kita tersungkur 0-2 di laman lawan.

"Oleh itu dengan masa yang ada menjelang pertemuan dengan skuad NS nanti, saya akan memberi penekanan dan fokus kepada bahagian tengah bagi memastikan gerakan yang dilakukan mampu membuahkan hasil dan seterusnya beroleh kemenangan.

"Selain jentera tengah, saya juga menuntut semua posisi mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dan jangan sesekali melakukan kesilapan serta memberi ruang kepada lawan bergerak bebas," kata Irfan Bakti.

Berdasarkan kedudukan terkini selepas 16 perlawanan, pendatang baharu Liga Super itu kini berada di tangga kelima liga dengan mengumpul 24 mata hasil tujuh kemenangan dan tiga kali seri serta enam kali tewas.

Bagaimanapun rekod bolos sebanyak 21 gol yang hampir menyamai jumlah gol iaitu sebanyak 23 jaringan sedikit membimbangkan pengendali skuad itu yang berhasrat untuk menghuni tiga tempat teratas dalam saingan Liga Super musim ini.

"Kami harap pintu gol skuad TFC tidak lagi dibolosi pihak lawan dengan baki lima perlawanan lagi sambil menuntut barisan penyerang mampu meledak seberapa banyak gol lagi dalam usaha untuk menyaingi pasukan lain," kata Irfan Bakti.

Selepas ini skuad Penyu bakal bertemu dengan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu pada 10 Julai diikuti dengan PKNS FC, Kedah, Kelantan dan terakhir bertemu Selangor. - Berita Harian
Blog, Updated at: 6/27/2018

0 comments: