Kejayaan England Inspirasi Buat Lee Tuck


KUALA TERENGGANU: Kejayaan England meratah Panama 6-1 dalam saingan Kumpulan G Piala Dunia, semalam membakar semangat pemain tengah kreatif Terengganu FC (TFC), Lee Tuck untuk tampil lebih bertenaga berdepan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Rabu ini.

Pemain kelahiran Halifax, England berusia 30 tahun yang digelar 'Rooney Terengganu' itu menyatakan dia mempunyai dua misi peribadi yang harus direalisasikan berdepan bekas pasukannya musim lalu itu.

"Misi pertama saya membantu pasukan mencatat kemenangan selepas tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu dan kedua saya akan bekerja keras untuk menyumbat gol kerana sudah pasti penyerang, Kipre Tchetche akan dikawal ketat lawan," kata arkitek yang berketinggian 1.75 meter itu.

Dalam aksi pusingan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan Februari lalu, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu menang tipis 2-1 hasil jaringan Mohd Ashari Samsudin dan bekas pemain import, Lee Jun Hyeob.

Mengulas lanjut, Tuck yang kini mengumpul enam gol dalam aksi Liga Super bagaimanapun tetap tidak memandang mudah keupayaan lawan, sebaliknya meramalkan pasukannya bakal berdepan tugasan sukar untuk menjinakkan skuad kendalian Mario Lemos itu.

"Bukan mudah untuk mengutip tiga mata, skuad Hobin Jang Hobin itu kini berbeza, mereka mempunyai jurulatih baharu dan mereka kini dilihat lebih kuat berbanding dua bulan lalu.

"Tapi kami sudah berlatih dengan baik sejak seminggu lalu dengan strategi yang mampu menumbangkan lawan, tambahan pula kami mempunyai motivasi untuk menang di gelanggang sendiri dan bangkit daripada kekalahan kepada JDT," kata Tuck. - Berita Harian