Seri Dengan Pulau Pinang, Mustaffa Kamal Bakal Dipecat?


KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC II (TFCII), Mustaffa Kamal Abd Wahab menyerahkan kedudukannya kepada pihak pengurusan selepas pasukannya sekadar seri 1-1 dengan Pulau Pinang dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Selepas tujuh perlawanan, TFCII yang tampil sebagai pasukan sokongan kepada skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim, Terengganu FC musim ini gagal meraih sebarang kemenangan.

Kali terakhir TFC II mencatat kemenangan ialah ke atas Johor Darul Ta'zim II (JDTII) 2-1 pada 16 April lalu dan pasukan itu mengalami tiga kekalahan dan empat seri termasuk perlawanan malam tadi.

"Pihak pengurusan (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) mahukan kemenangan dalam perlawanan malam ini (malam tadi), namun kita gagal lunaskan permintaan selepas hanya mampu mencatat keputusan seri.

"Jadi sekarang, saya serahkan kepada pihak pengurusan membuat sebarang keputusan dan sebagai ketua jurulatih saya kena terima serta bertanggungjawab ke atas pasukan ini," katanya selepas perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Mustaffa Kamal berkata, pasukannya mempamerkan aksi konsisten dan dihidangkan dengan lima peluang terbaik pada babak pertama, namun gagal menjaringkan gol.

"Kita menguasai permainan dan memiliki beberapa peluang keemasan, tapi pemain tidak manfaatkan dengan jaringan.

"Malah, pemain terpaksa bekerja keras selepas ketinggalan untuk menyamakan kedudukan dan bernasib baik memperoleh sepakan penalti di hujung permainan untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata," katanya.

 - Berita Harian