Suffian “Tiger” Ajak Rakan Pungut Tiga Mata

Posted on Tuesday, June 26, 2018 | 6/26/2018



KUALA TERENGGANU: Penjaga gol berpengalaman Terengganu FC (TFC), Mohd Suffian Abdul Rahman bertekad mengulangi aksi cemerlang ketika bertemu bekas majikannya, Negeri Sembilan (NS) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Malah, pemain yang menjadikan bekas penjaga gol kebangsaan Itali, Gianluigi Buffon sebagai idolanya itu turut berhasrat melebarkan rekod kemenangan ke atas NS sekali gus mengubah kedudukan dalam carta liga.

Pada pusingan pertama Februari lalu, penjaga gol berusia 40 tahun yang lebih mesra dipanggil 'Tiger' itu menafikan deretan peluang yang dimiliki NS sebelum TFC menang 2-1.

"Ini peluang terbaik buat kami untuk meraih tiga mata selepas kecundang 0-2 kepada Johor Darul Ta`zim (JDT) minggu lalu.

"Secara peribadi, selepas pulih daripada kecederaan, saya berjanji untuk pamerkan aksi terbaik dan konsisten selain mengelak kesilapan yang boleh mengundang padah kepada pasukan.

"Saya juga turut mengharapkan rakan sepasukan mampu menggalas tugas masing-masing dengan baik seperti dibuktikan pasukan Brazil yang berjaya meledak dua gol pada hujung perlawanan ketika menang 2-0 ke atas Costa Rica dalam aksi peringkat kumpulan saingan Piala Dunia 2018," kata Mohd Suffian.

Sebelum menyarung jersi TFC musim lalu, Suffian pernah mewakili lapan pasukan bermula dengan NS, Telekom Melaka, Selangor, Kuala Muda Naza FC, Sarawak, Pahang, FELDA United dan Sime Darby FC.

Mengulas lanjut, bekas penjaga gol kebangsaan itu meminta pemain TFC supaya tidak mengambil mudah pertemuan itu kerana di dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku.

"Justeru, sebagai pemain paling senior dalam padang, apa yang penting rakan sepasukan harus tenang dan tidak mengikut emosi selain mengikut taktikal yang diatur jurulatih," katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 6/26/2018

0 comments:

Loading...