Kipre Tchetche Mahu Cipta Sejarah


KUALA TERENGGANU: Penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche berazam untuk memburu anugerah Kasut Emas musim ini sekali gus mencipta sejarah peribadi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Malah, pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Terengganu' itu juga bertekad mahu membantu skuad Penyu muncul tiga pasukan terbaik Liga Super selain mengintai peluang kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

Selepas 16 perlawanan liga setakat ini, pemain berusia 30 tahun itu sudah meledak 13 gol, ketinggalan hanya satu jaringan di belakang penjaring terbanyak setakat ini dari Selangor, Rufino Segovia yang meledak 14 gol manakala penyerang utama Kuala Lumpur, Paulo Guilherme ketiga (11 gol).

"Perjuangan pertama saya adalah untuk melihat pasukan berjaya dan bukannya bersifat peribadi untuk muncul penjaring terbanyak, tapi jika ada peluang saya mahu buktikan dan mencipta sejarah sebagai pemenang kasut emas dalam saingan Liga M," kata Tchetche.

"Selain itu, saya berazam meledak jaringan dalam setiap perlawanan liga bagi memastikan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik liga menjadi kenyataan selepas hasrat untuk mengintai peluang di persada liga sudah tertutup."

Dalam aksi bertemu Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Rabu lalu, penyerang yang mula beraksi dalam saingan Liga M pertengahan musim lalu bersama skuad Penyu itu meledak hatrik pertamanya musim ini sekali gus membantu pasukannya mencatat kemenangan 3-2.

Musim lalu, bekas penyerang kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu berjaya meledak 13 gol bersama skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim dalam 13 penampilan selain pernah dinobatkan penyerang terbaik bulanan oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), pada September.

Mengulas lanjut, anak bongsu daripada enam beradik itu yang menyertai skuad Penyu menggantikan penyerang kelahiran Argentina, Federico Falcone, mengakui bukan tugas mudah untuk menyaingi Segovia dan Guilherme yang sudah pasti mahu merakam kejayaan yang sama muncul penjaring terbanyak.

"Saya sedar bukan mudah untuk mencipta rekod, tapi saya ada peluang dan tumpuan. Oleh itu saya tidak boleh putus asa sebaliknya perlu bekerja lebih keras lagi bersama rakan sepasukan dalam misi membantu pasukan dan memenangi anugerah Kasut Emas," kata anak pensyarah kolej itu.

Berdasarkan rekod, pemain skuad Terengganu pernah mencipta hatrik muncul penjaring terbanyak Liga Super menerusi Mohd Ashari Samsudin yang meledak 18 gol pada tahun 2010, diikuti Abdul Hadi Yahaya (20 gol) pada 2011 dan pemain import, Francis Forkey Doe (15 gol) pada 2012. - Berita Harian