Saya Bertanggungjawab, Terpulang Kepada PBSNT


Kuala Terengganu: Pengendali TFC II, Mustafa Kamal Abdul Wahab, bersedia menerima berita buruk daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) selepas prestasi hambar pasukan itu sehingga tersingkir daripada Liga Perdana.

Malah, kejohanan julung kali Piala Cabaran yang akan disertai TFC II bermula 7 dan 8 Ogos ini juga tampak belum pasti menjadi perlawanan yang akan dikendalikannya.

Menyedari situasi itu sebagai asam garam dalam bola sepak, Mustaffa Kamal menjelaskan dia tetap akan memikul amanah dan tugas sebaik mungkin selagi diberi kepercayaan oleh PBSNT.

"Saya bertanggungjawab ke atas prestasi TFC II dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan untuk menentukan kedudukan saya selaku jurulatih," ujarnya.

Ditemui susulan kekalahan 1-2 kepada MISC-MIFA, malam kelmarin, Mustaffa Kamal menyifatkan sepanjang musim ini dia tiada pilihan selain cuba membentuk barisan terbaik dengan pemain sedia ada, termasuk awang import.

"Ketika kami (TFC II) dalam momentum terbaik, TFC memerlukan khidmat Bruno (Junichi Suzuki), Akanni (Sunday Wasiu) dan Muhammad Haidhir (Suhaini)."

Situasi itu katanya, tidak membantu TFC II yang terpaksa mencuba gandingan lain, termasuk pemain 'buangan' TFC sendiri, Lee Jun-hyeob, tatkala pencabar-pencabar Liga Perdana menukar pemain luar yang lebih berkualiti.

"Momentum TFC II agak terjejas manakala pasukan lain sudah ada kesebelasan utama yang menjadi tunjang pasukan sejak perlawanan pertama.

"Penglibatan pemain muda cuba diperkenalkan tetapi mereka gagal menunjukkan tahap sebenar," tambahnya. - Arena