Terengganu FC Tempang Di Aksi Terakhir Liga Super Bertemu Selangor


KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) yang berhajat menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan noktah kemenangan bertemu Selangor Ahad ini, turun tanpa dua 'jeneral' padang.

Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin digantung satu perlawanan selepas masing-masing menerima tiga kad kuning. Ketiadaan dua arkitek itu yang menjadi nadi pasukan sebelum ini sudah pasti menjejaskan persiapan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

Lebih parah pasukan terpaksa melupakan khidmat pemain yang digelar 'lipas kudung', Abdul Malik Mat Ariff yang terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan patah tulang rusuk ketika bertemu Kedah minggu lalu.

"Kita kehilangan dua pemain yang digantung satu perlawanan dan ditambah kecederaan Malik. Ketiadaan Tuck sudah pasti menjejaskan persiapan pasukan kerana kami mahu menang untuk berada sekurang-kurangnya di kedudukan ketiga terbaik liga.

"Tetapi apa boleh buat, kita tak dapat menurunkan mereka. Namun saya akan mencuba kombinasi Messi (Mohd Faiz Nasir) dan mungkin membawa masuk pemain muda daripada skuad TFC II (Terengganu FC II), Fazirhikhwan Mat Rani untuk mengisi jentera tengah pasukan," kata Irfan Bakti.

Tuck yang kini muncul penjaring kedua terbanyak pasukan selepas Kipre Tchetche dengan enam gol menerima kad kuning ketiga ketika skuadnya menundukkan Kelantan 2-0 pada Selasa lalu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dalam aksi pusingan pertama pada Februari lalu, anak buah Irfan mudah meratah skuad Selangor 4-1 tetapi tewas 1-3 kepada skuad kendalian Nazliazmi Mohamad itu dalam aksi pusingan ketiga Piala FA. - Berita Harian