Ashari Samsudin “Silent Killer” Bukan Sekadar Pelengkap!

Posted on Thursday, August 30, 2018 | 8/30/2018



PENYERANG Terengganu FC (TFC) yang dilabel 'The Silent Killer’, Mohamad Ashari Samsudin tidak mahu kehadirannya dalam skuad Penyu sebagai pelengkap sebaliknya dia bertekad membuktikan sentuhannya masih berbisa.

Biarpun dibayangi rakan sepasukan yang juga penjaring sensasi, Kipre Tchetche, Mohamad Ashari yang kini berusia 33 tahun tetap yakin dengan kemampuannya untuk membantu pasukan.

Selain itu, pemenang Kasut Emas 2010 selepas meledak 18 gol itu bersedia menggunakan segala pengalamannya untuk membantu skuad Penyu membenam cabaran Perak pada 2 September sebelum menamatkan aksi peringkat Kumpulan A dengan Kuala Lumpur pada 15 September.

“Sebagai pemain profesional saya perlu berusaha keras meningkatkan diri terutama berkaitan penyudah dalam setiap perlawanan bagi membantu pasukan biarpun skuad kami memiliki penjaring import berkualiti dari Ivory Coast itu.

“Justeru, untuk aksi Piala Malaysia edisi ini, saya bertekad mencurahkan segala pengalaman yang ada untuk membantu pasukan mara ke pentas final dan seterusnya mendakap piala berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi Terengganu pada 2001,” kata Mohd Ashari.

Berdasarkan rekod, sejak mula beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) bermula 2005, bekas penyerang kebangsaan yang mempunyai ketinggian 1.80 meter itu berjaya menghasilkan 71 gol sepanjang 200 penampilannya bersama Terengganu dan tiga jaringannya dalam kancah Piala Malaysia setakat ini.

Mengenai keupayaan pasukannya muncul skuad pertama layak ke suku akhir, Mohd Ashari enggan mendabik dada sebaliknya mengharapkan aksi konsisten daripada rakan sepasukan selepas ini.

Pemain kelahiran Rawai Bukit Payong, Marang itu juga sentiasa beringat dan menasihati rakan sepasukan supaya tidak cepat berpuas hati sebaliknya berjuang hingga ke minit terakhir perlawanan.

“Kita tak mahu kecewa buat kali ketiga selepas terlepas peluang untuk menjuarai Liga Super dan Piala FA, justeru semangat juang yang tinggi serta mempamerkan aksi sebenar diharapkan mampu diterjemahkan,” katanya. - Harian Metro
Blog, Updated at: 8/30/2018

0 comments: