Jangan Bubar Terengganu FC II - Irfan Bakti

Posted on Wednesday, August 08, 2018 | 8/08/2018



KUALA TERENGGANU: “Usah bubar pasukan TFC II (Terengganu FC II), saya tidak setuju dan menolak sekeras-kerasnya kerana bagi saya Terengganu adalah antara satu kilang pengeluar pemain berpotensi, bukan saja kepada pasukan negeri malah dalam skuad kebangsaan.

“Jika Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) kekal dengan pendirian itu, ia satu kerugian besar dalam sukan bola sepak di negeri ini,” kata pengendali bepengalaman Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai masa depan TFC II yang kini sudah tersingkir ke saingan Liga FAM musim depan, selepas menghuni di tangga tercorot Liga Perdana dan kini bagaikan telur di hujung tanduk termasuk berkemungkinan akan dibubarkan.

Namun keputusan rasmi nasib skuad yang kini beraksi dalam Piala Cabaran itu akan diputuskan PBSNT hari ini, dalam mesyuarat pengurusan persatuan yang akan dipengerusikan Menteri Besar Terengganu yang juga presiden baharu PBSNT, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti berkata, walaupun PBSNT kecewa dengan prestasi merudum pasukan itu yang sebelum ini dikenali sebagai T-Team, tetapi langkah untuk membubarkan skuad nombor dua negeri berkenaan bukanlah keputusan yang tepat.

“Saya akui terkejut mendengar berita itu (TFC II akan dibubarkan) , harapan saya masih ada ruang perbincangan dan langkah terbaik untuk menyelamat pasukan itu daripada terus terkubur memandangkan bakat yang ada pada anak muda di negeri ini khususnya dalam sukan bola sepak agak ramai.

“Bagaimanapun saya mencadangkan skuad itu nanti haruslah mempunyai pengurusan yang tersusun dan betul serta serah kepada orang bola sepak yang mengendalikannya, kerana bagi saya ramai bekas pemain bola sepak tersohor adalah lahir dari negeri ini.

“Jadi, saya harap kerajaan negeri atau PBSNT memikirkan semula perkara itu kerana impaknya cukup besar dalam melahirkan ramai pemain berbakat yang seterusnya dapat membantu pasukan negeri dan negara,” katanya yang menyatakan skuad itu nanti haruslah mempunyai pemain mengikut had umur.

Sebelum ini, mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyuarakan pandangan sama agar skuad itu tidak dibubarkan. - Berita Harian
Blog, Updated at: 8/08/2018

0 comments: