(VIDEO) Terengganu FC Diikat Felcra FC


KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) mensia-siakan kelebihan dua gol untuk sekadar seri 2-2  dengan FELCRA FC dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.



Skuad Penyu membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi Mohd Ashari Samsuddin, dan hampir menambah jaringan pada minit ke-34, namun rembatan kapten pasukan Kipre Tchetche dalam kotak penalti sempat ditampan penjaga gol Mohamad Fadzley Abdul Rahim.

Seminit kemudian, pemenang Kasut Emas 2010, Ashari sekali lagi mencemaskan kubu FELCRA FC apabila rembatan kencangnya dari luar kotak penalti terkena tiang gol.

Sebelum memasuki bilik persalinan skuad The Rivals mendapat sepakan percuma berdekatan kotak penalti tetapi sepakan Anselmo Arruda Da Silva gagal menemui sasaran.

Bersambung babak kedua skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim tidak menunggu lama untuk menambah jaringan menerusi penyerang yang digelar The Silent Killer, Ashari yang merembat kencang dalam kotak penalti hasil hantaran Tchetche pada minit ke-45.

Pada minit ke-53 pelawat memperolehi sepakan penalti selepas Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris mengasari Da Silva, namun sepakan yang diambil kapten Muhammad Shahrom Abdul Kalam berjaya ditampan penjaga gol Mohd Suffian Abdul Rahman.

FELCRA akhirnya berhasil merapatkan kedudukan menerusi tandukan mengelirukan pemain pertahanan Mohd Alif Samsudin pada minit ke-59.

Pada minit ke-89 skuad pelawat berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan kencang Abdul Aziz Rahim untuk menjadikan kedudukan 2-2. - Berita Harian