B. Sathianathan Akui Kemasukan Faiz & Malik Menjadi...

Posted on Saturday, September 29, 2018 | 9/29/2018



Ketiadaan beberapa pemain utama diakui pengendali Felda United, B. Sathianathan, sebagai antara punca skuad bimbingannya tumpas 3-4 kepada Terengganu FC (TFC) dalam suku akhir kedua Piala Malaysia, malam tadi.

Menurutnya, kepincangan Felda United terserlah dengan dia kekurangan pilihan bagi memperkemaskan pasukan ketika perlawanan berlangsung sengit dalam separuh masa kedua.

Sathianathan berkata kemasukan pemain tengah TFC, Mohd Faiz Nasir serta Abdul Malik Mat Ariff menjadi pemisah tatkala Felda beraksi tanpa kelibat Thiago Augusto, Wan Zack Haikal Wan Noor, Christie Jayaseelan dan Hadin Azman.

Malah, masalah kecergasan turut memaksa Sathianathan mengeluarkan arkitek dua gol pertama Felda, Danial Amier Norhisham, pada minit ke-66 sehingga membenarkan TFC bangkit daripada ketinggalan.

"Sebenarnya, Felda beraksi lebih baik, namun saya tiada pemain yang boleh mengubah permainan dari bangku simpanan dan itu kelemahan kami," ujar bekas jurulatih kebangsaan itu.

Begitupun, Sathianathan, yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), tetap gembira melihat aksi pasukannya menyaingi TFC sambil menyifatkan perlawanan malam tadi cukup menghiburkan.

"Saya bangga walaupun kami ketinggalan secara agregat di Jengka, kami hadir ke sini dan memberikan segala-galanya," ujarnya.

Sementara itu, Sathianathan mengakui menerima tawaran untuk terus membimbing The Fighters dalam Liga Super 2019, namun masih belum berbincang lebih lanjut mahupun membuat sebarang keputusan.

"Felda cukup hebat. Gaji, bonus dan tempat latihan (semua ada). Malah, tiada campur tangan pihak pengurusan dalam urusan pasukan.

"Saya minta pertukaran pihak atasan ketika ini akan meneruskan komitmen tersebut," katanya lagi. - Arena
Blog, Updated at: 9/29/2018

0 comments: